Jernihkan Minda, Menuju Khilafah

“Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah….”
Kata-kata motivasi di atas merupakan sebahagian daripada pesanan Nabi S.A.W kepada umat Islam. Sebuah ucapan perangsang bernilai tinggi dalam menggerakkan umat yang lena dan sentiasa alpa. Himpunan kalimat yang meluncur jujur keluar dari bibir baginda S.A.W yang mulia. Siapakah mukmin yang kuat? Apakah ciri-cirinya? Mungkin ini antara persoalan yang timbul apabila hadis ini dikemukakan.
Apa tidaknya, perkataan ‘al qawiyyu’ yang bermaksud lemah boleh diwakili dengan bermacam-macam makna. Antara pandangan ulama berhubung tafsiran ‘al quwwah’ tersebut ialah; 1) Mukmin yang mempunyai fizikal dan tubuh badan yang kuat dan mantap. 2) Mukmin yang mempunyai keimanan yang teguh. 3) Mukmin yang kuat mengerjakan amal yang soleh. 4) Mukmin yang mempunyai kekuatan akal dan kemahuan (cita-cita) yang tinggi. Dan banyak lagi. (sila rujuk pandangan-pandangan ulama tradisionalis dan kontemporari.)
Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang tentang pelbagai tafsiran ulama berhubung istilah tersebut, cukuplah untuk kita memahami bahawa Islam mahukan kita menjadi seorang mukmin yang berkredibiliti, hebat dan berbeza dengan graduan-graduan daripada madrasah agama dan ideologi yang lain. Lagipun, saya bukanlah seorang yang fakih untuk menghuraikan satu persatu pandangan para ulama berhubung hadis tersebut.
Seperti biasa, penulisan saya bermisi untuk membuka minda para pembaca dan membuat kritikan-kritikan yang dirasakan perlu. Kritikan yang konstruktif bukannya deskruktif. Begitu juga dengan anda, supaya anda mengkritik penulisan dan pandangan saya. Ya, marilah kita menjadikan kritikan sebagai rakan karib kita supaya kita dapat menjadi individu muslim yang unggul.
Cukup makan isme
Umat Islam pada hari ini cukup terkenal dengan idea ‘cukup makan isme’nya. Mereka terperangkap dengan istilah redha, qanaah, tawakkal dan pelbagai lagi istilah-istilah yang lain. Akhirnya, lahirlah individu muslim yang bertaklid buta dalam setiap perbuatannya, gagal melontarkan ideanya sendiri, menjadi ustaz yang ‘copy and paste’ dan lebih parah lagi menunggu buah gugur ke bumi tanpa ada sebarang usaha untuk memanjat pokok tersebut ataupun sekurang-kurangnya bertindak mengait buah yang berada di pokok.
Mereka mengharapkan nusrah (pertolongan) daripada Allah, namun tiada sebarang usaha untuk memenuhi syarat-syaratnya. Yang lebih kritikal, terdapat golongan yang membuat teknik penyelesaian mudah iaitu;

“kita tunggu Imam Mahdi je, biar baginda dan Nabi Isa bunuh Dajal dan musuh-musuh Islam.”
Adakah dinamakan redha jika kita hanya mengangguk tanda setuju dengan permainan kotor golongan musuh tanpa sebarang usaha untuk menentang (siasah) dan memberi penerangan (dakwah) kepada mereka? Apakah layak dinisbahkan qanaah dengan sikap bercukup-cukup dengan kejayaan yang diterima sedangkan kita masih jauh ketinggalan dalam pelbagai lapangan dan bidang? Ataupun benarkah tawakkal itu ialah berserah diri bulat-bulat kepada Allah tanpa sebarang usaha dan praktikal demi mencapai satu cita-cita. Jawapannya ialah, tidak sama.
kita jangan gusar, orang yang belajar agama ni insyaAllah rezekinya di mana-mana. Habis belajar nanti akan ada tawaran pekerjaan.
kita mesti mempertingkatkan usaha, bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara. InsyaAllah rezeki kita akan dikurniakan-Nya.
Cuba anda lihat kedua-dua ayat di atas. Nampak tak perbezaan antara ayat yang pertama dan ayat yang kedua?
Hakikatnya, inilah yang sedang berlaku dalam kalangan umat islam. Ayat yang pertama itu sentiasa diucapkan kepada mereka yang menuntut dalam bidang agama khususnya. Saya memahami bahawa nasihat itu diberikan untuk memberi satu keyakinan kepada orang muda bahawa rezeki di tangan Allah dan bukan sebaliknya. Tetapi, tanpa kita sedari dan boleh jadi kita sudah menyedarinya, penerima nasihat tersebut akan berminda ‘cukup makan isme’ apabila ‘keyakinan’ itu sentiasa menziarahi gegendang telinganya.
Berbeza dengan ayat yang kedua, satu bentuk motivasi yang menjamin keyakinan buat pendengar. Bukan hanya jaminan keyakinan tanpa motivasi supaya bersungguh-sungguh. Contoh di atas nampak agak ringkas kan. Akan tetapi sedarilah, perkara tersebut menyebabkan akan membiak umat yang tidak bercita-cita tinggi dan lemah, paradoks dengan status khalifah yang sudah dianugerahkan kepada keturunan Adam.
Bagaimana mungkin puncak agung khilafah akan berjaya ditawan sekiranya kita hanya ‘qanaah’ berkaki ayam. Ingat saudara, gunung khilafah cukup licin dan penuh dengan duri!
Teodhor Hertzel dan Israel
Siapa tidak kenal seorang figur global yang bernama Dr Teodhor Hertzel? Beliau merupakan seorang tokoh Yahudi yang cukup berpengaruh dan berminda futuristic. Beliaulah yang bertanggungjawab menghimpunkan kira-kira 300 orang cendikiawan Yahudi di Bassel, Switzerland pada 29 Ogos 1897. Beliaulah yang telah mengajak orang-orang Yahudi dari seluruh dunia berkongres buat kali pertama. Wal hasilnya, 24 protokol yahudi telah berjaya dicipta dan teori zionisme dipraktikkan.
Sejarah telah mencatatkan bahawa Hertzel pernah berkata; “Aku telah mendirikan negara yahudi di bassel.”
Satu kenyataan yang menunjukkan bahawa si bedebah ini cukup tinggi imaginasi dan mempunyai cita-cita yang memuncak untuk memartabatkan agamanya. Barangkali Hertzel menghayati satu kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud:
“Gantung dan simpanlah cita-citamu di atas awan supaya tiada sesiapa yang boleh mengganggunya.” (sesiapa yang mempunyai kata-kata penuh beliau, sila nyatakan.)
Dan kesudahannya, pada 15 Mei 1948 iaitu kira-kira 51 tahun selepas kongres pertama Yahudi di bassel, negara haram Israel telah berjaya didirikan. Saya tidak berniat untuk mengagung-agungkan Hertzel, tetapi cukuplah kita mengagumi kekentalan visi dan cita-citanya. Sentiasa berminda positif dan tidak memandang halangan di depan sebagai ancaman, sebaliknya sebagai peluang.
Islam kaya dengan motivasi
Saya mengambil contoh mudah iaitu peristiwa Sultan Muhammad al-Fatih yang telah berjaya menawan Kota Kontantinople. Kejayaan agung itu sebenarnya didorong oleh satu keyakinan yang telah dibawa oleh baginda S.A.W menerusi salah satu sabdanya yang masyhur iaitu;
“Kontantinople akan dibuka (ditawan) oleh seorang pemuda. Sebaik-baik panglima ialah penglima itu dan sebaik-baik tentera ialah tentera itu.”
Hadis di atas telah dijadikan visi oleh al-Fatih dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Cita-cita tinggi yang dimiliki beliau itu telah menyebabkan beliau berjaya melaksanakan misi ajaib dengan mengatasi halangan yang berada di hadapan beliau dan tentera-tenteranya. Malah, sikap tidak berputus asanya setelah tiga usaha beliau dalam peperangan tersebut gagal akhirnya membawa kejayaan yang luar biasa hebat menerusi misi keempatnya.
Al-Fatih dan bala tenteranya telah memindahkan 70 buah kapal Uthmaniah dari Selat Bhosporus ke Tanjung Emas melalui sebuah bukit dengan jarak lebih 3 batu dalam tempoh satu malam.
Subhanallah, cukup ajaib. Bahkan, dek kerana penangan motivasi Nabi S.A.W itu juga menyebabkan banyak individu yang telah mendahului al-Fatih dalam melaksanakan misi besar itu dengan didahului oleh Abu Ayyub al-Ansari, salah seorang sahabat Nabi S.A.W. Begitu juga dengan kisah Suraqah bin Malik yang telah dimotivasikan oleh Nabi S.A.W bahawa beliau akan dipakaikan gelang kebesaran Raja Parsi yang cukup berkuasa pada waktu itu. Dan benarlah janji baginda S.A.W itu apabila pada zaman Saidina Umar al Khattab, kerajaan Parsi telah berjaya ditumbangkan. Malahan, banyak lagi tasyji’ yang terkandung dalam agama Islam termasuklah motivasi berbentuk dosa pahala dan syurga neraka.
Hiasilah diri kita dengan bercita-cita tinggi!
Mungkin jarang orang yang menyatakan bahawa bercita-cita tinggi itu ialah perhiasan. Biar saya yang katakan, inilah salah satu perhiasan yang tidak ternilai milik umat Islam! Kitalah umat yang paling layak untuk mempunyai jiwa yang besar.
Terdapat satu pepatah yang menyebut; “diri manusia itu kecil, tetapi dalam dirinya itu terdapat satu alam yang besar.”
Letakkan visi, siapkan misi dan pandanglah ke hadapan. Imaginasi dan berilusi itu penting, tetapi jangan kita lupa untuk melaksanakan pelan-pelan yang telah dirangka untuk sampai ke destinasi yang reality.
Dalam kita sibuk berteoretikal, luangkan masa untuk melakukan praktikal.
Einstein pernah menyebut: “Imagination is more important than knowledge. Knowledge is limited. Imagination encircles the world.”
Lupakah kita bahawa Allah telah mengiktiraf kita? “Dan janganlah kamu berasa hina dan janganlah kamu berdukacita kerana kamu mulia dan tertinggi (berbanding yang lain) sekiranya kamu benar-benar beriman.” (Surah Ali Imran:139)

Popular posts from this blog

Tanda-tanda Iman Lemah dan Cara-cara Mengatasinya

'IKHWAN' - UMAT YANG DIRINDUI OLEH NABI