Janji Seorang Sufi


Adalah diceritakan, ada seorang soleh yang pandangannya hanya kepada akhirat dan keindahan syurga, sehingga dia berjanji kepada Allah untuk tidak akan melihat lagi keindahan duniawi agar tidak merasa tertarik padanya.

Pada suatu hari, ketika dalam satu perjalanan, dia lalu di sebuah pasar, tempat membeli belah dan secara tidak sengaja terlihat sebuah tali pinggang yang tergantung di sebuah kedai. Mungkin tali pinggang itu sangat cantik sehingga terlupa akan janjinya kepada Allah, maka dia memandangnya dengan agak lama. Dia terlalai.

Tuan punya kedai mengetahui bahawa ada seorang lelaki melihat barang jualannya, tetapi tidak mahu membelinya. Lalu dia menoleh pada barangan jualannya, ternyata dengan takdir Allah, tali pinggang ghaib pada pandangannya.

Maka tiada siapapun yang dicurigai di situ melainkan seorang sufi yang berada di tempat itu. Dia segera melompat dan memegang tangan orang sufi itu kuat - kuat, menengking dan menuduhnya sebagai pencuri.

"Hai saudara! Kau bergaya sebagai orang soleh, tapi kenapa sanggup melakukan perkara ini." kata tuan punya kedai.
"Apa maksudmu, wahai saudara?"kata orang sufi yang tersedar dari kelalaiannya.
"Engkau seorang sufi, tetapi mengapa engkau mencuri?"
"Hai, apa yang aku curi!?"
"Engkau telah mencuri tali pinggangku."
"Demi Allah, aku tidak mencuri apa - apa pun barangmu," sangkal orang soleh itu sambil bersumpah.

Kerana perselisihan mereka berpanjangan, maka sampailah kepada pengetahuan pihak penguasa setempat untuk mencari keadilan. Penjual tali pinggang itu menceritakan pada penguasa bahawa orang soleh itu telah mencuri tali pinggangnya.

"Wahai lelaki, apakah perkara ini patut dilakukan oleh orang yang soleh sepertimu?" soal Amir.
"Demi Allah, aku tidak mencuri apa - apa." jawab ahli sufi itu.

Lelaki soleh itu memang tidak mengaku kerana memang tidak merasa mengambil apa - apa dari kedai tersebut. tiba - tiba salah seorang yang hadir di situ berkata,

"Singkap bajunya!"..

Mereka menyingkap baju orang soleh itu dan ternyata di pinggangnya ada tali pinggang terlilit. Mengetahui hal ini, lelaki soleh itu memekik seolah - olah hampir mati ketika itu juga, kemudian pengsan kerana terkejut yang luar biasa.

"Ambillah rotan!" kata Amir.

Setelah rotan siap ditangannya, Amir bersedia untuk merotan lelaki soleh yang sedang pengsan itu.

Namun begitu sebelum Amir mengangkat tangannya dia terdenganr suara, "Wahai hamba Allah, jangan engkau memukul wali Allah itu. Perkara ini berlaku hanya sebagai cubaan bagi engkau."

Amir terkejut yang luar biasa, dia menjerit sekuat - kuatnya bagaikan rohnya hendak berpisah dari badannya. Dia lalu rebah ke bumi dan pengsan di tempat itu juga. Kedua - dua orang yang bertaqwa itu telah sama - sama pengsan.

Sebentar kemudian si lelaki soleh sedar dari pengsannya, kemudian mengangkat kepalanya ke langit, lalu berdoa sambil menangis, "Wahai Tuhanku! Aku mohon ampun kepada-Mu. Aku telah mengetahu akan dosa - dosaku dan kesalahanku. Aku bersalah, begitulah akibat orang yang tersilap. Maka janganlah Engkau siksa aku, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pelindung manusia."

Orang - orang yang hadir di situ turut menangis bersamanya. Tidak lama kemudian, Amir sedar dari pengsannya, dia lalu mencium tangan dan kaki orang soleh itu.

"Wahai kekasihku, bagaimana perkara ini boleh berlaku?" tanya Amir kepada orang soleh.

Orang soleh menceritakan bahawa dia telah berjanji kepada Allah untuk tidak melihat apa - apa jua perhiasan dan barang - barang cantik di dunia. Kemudian dia lalu di sebuah pasar dan terlihat tali pinggang yang indah.

Maka dengan takdir Allah dia terlalai di situ. Dia tidak tahu apa yang terjadi, melainkan lelaki penjual tali pinggang itu tiba - tiba menyerangnya dan menuduhnya mencuri, padahal saya tidak mencurinya.

Amir faham bahawa tali pinggang yang dijumpai di pinggang orang soleh itu adalah atas kehendak Allah, sebagai balasan melanggar janji.

Popular posts from this blog

Tanda-tanda Iman Lemah dan Cara-cara Mengatasinya

'IKHWAN' - UMAT YANG DIRINDUI OLEH NABI