Become our Fan

Sep 9, 2008

mahasiswa PUO...

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa kehidupan di kampus adalah tahap yang paling menyeronokkan dalam sejarah kehidupan manusia. Ada yang menganggapnya sebagai masa untuk honeymoon. Malah ana sendiri pernah mendengar ungkapan yang terbit dari seorang pensyarah yang mengatakan bahawa Life in campus is the best time that you experience in you lifetime.Ini menunjukkan, bahkan kalangan ahli akademik sendiri yang telah bertahun-tahun meninggalkan alam kampus turut mengakui indahnya kehidupan di alam kampus.
Namun, dalam melayari kehidupan kampus yang indah ini, adakah kita sebagai mahasiswa yang terpelajar, yang dianugerahkan Allah SWT dengan akal fikiran, sanggup membiarkan diri hanyut dibuai keasyikan dalam dunia yang fana ini? Atau dikecilkan skopnya, dalam kehidupan kampus yang singkat ini (mungkin 3, 4 atau 5 tahun sahaja) ? Sanggupkah kita ? Apatah lagi dengan masalah sosial, khususnya yang paling popular, budaya kapal layar @ couple yang semakin menjadi-jadi, terutama dalam kalangan siswi. Bukan bermaksud menghentam atau mengaibkan kaum sendiri, tetapi sekadar ingin membuka mata, telinga, mulut dan hati masing-masing agar lebih peka dengan kebajikan dan siswi kita pada hari ini. Mungkin ada yang beranggapan, Ah, peduli apa! Bukan hal aku! Tak payah susah-susah nak jaga tepi kain orang!Sememangnya anggapan sebeginilah yang harus kita kikis dalam diri masing-masing kerana sikap kau dengan hal kau dan aku dengan hal aku inilah yang akan melemahkan bangsa kita.

Sedangkan Islam mengajar kita untuk tidak membiarkan saudara kita berada dalam kesesatan. Kita tentu tidak mahu diheret ke neraka oleh saudara sendiri lantaran peringatan yang tidak disampaikan walaupun sedikit.Berbalik kepada isu kapal layar ini, sememangnya golongan siswilah yang paling terkesan apabila dibangkitkan apa-apa sahaja yang berhubungkait dengan isu ini. Bukan menafikan kesensitifan atau kepekaan siswa, tetapi lumrah alam dan fitrah wanita itu sendiri yang mudah terusik hatinya. Ditambah lagi dengan bilangan siswi yang mengatasi bilangan siswa di kebanyakan kampus. Maka tidak hairanlah jika siswi juga yang seringkali dikaitkan dengan isu ini.Menyelami faktor-faktor terjadinya situasi ini, hati ana tertanya-tanya, mengapa hendak bercouple? Apa keistimewaannya ? Apa kelebihannya ? Lantas, ana menemukan jawapan yang sememangnya biasa didengari, iaitu inginkan kasih sayang, rasa bahagia, dicintai, dihargai, diberi perhatian, ambil berat dan segala-galanya yang manis-manis belaka.

Sekali lagi ana bertanya dalam hati, jika inilah kelebihannya, apakah semua ini tidak diperoleh daripada ibu bapa, keluarga atau rakan-rakan? Malang sungguh jika itulah yang dibangga-banggakan selama ini. Maaf, jika ana katakan bahawa sebelum ini ana pernah menganggap orang-orang yang bercouple ini sebagai kurang kasih sayang.Bagi sebilangan siswi, mungkin ada yang berfikiran bahawa di usia muda dan dalam kampus inilah perlunya usaha gigih dalam mendapatkan jejaka idaman Malaya, kerana berpandangan jauh mengatakan takut tidak ada peluang lagi di masa akan datang.

Wahai siswi, harus diingat,Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat, laki-laki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik, laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik. Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dari tuduhan yang mereka katakan, untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia. (An-Nur : 26)Malah, ada juga yang menganggap budaya couple ini sebagai satu tabiat biasa yang sukar ditinggalkan.

Ekoran dari suka-suka, lantas terbiasa. Bukankah ini sesuatu yang merugikan ? Dari segi apa ? Tepuk dada, tanyalah iman. Lebih teruk lagi, apabila ada yang sanggup memahkotai nafsu, mengatasi maruah diri lantaran lemahnya iman dalam menangkis madah manis berduri sang pencinta duniawi. Apabila sayang sudah terucap, kasih sudah terluah dan janji telah terikat, maka melompat-lompat kegembiraanlah sang iblis melihat misinya telah tercapai.Ingin ana tegaskan di sini, ana bukanlah orang yang berhak dalam menjatuhkan hukum terhadap sesuatu. Yang berhak hanyalah Allah SWT.

Ana sekadar menunaikan kewajipan sebagai saudara seislam yang prihatin dengan masalah kebejatan sosial dalam kalangan kaum ana sendiri, iaitu siswi. Dalam Surah Ali-Imran, ayat 104, Allah berfirman yang bermaksud :

Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar, mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Allah SWT juga memberi peringatan dalam Surah Al-Isra, ayat 16 yang bermaksud :

Apabila Kami hendak menghancurkan satu perkampungan itu, Kami banyakkan bilangan orang kaya dan mereka melakukan perbuatan fasik, sehingga berhaklah Tuhan menghukum dan Kami akan hancurkan.Apa yang terjadi di zaman ini, ramai yang tidak mengambil langkah yang dianjurkan oleh Islam dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Ramai yang terbabas jauh dari landasan Islam sebenar. Inilah yang berlaku apabila akal telah dibutakan oleh hawa nafsu.Justeru itu, apa yang boleh kita lakukan, dalam setiap apa pun perbuatan kita, hendaklah didasari dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Sudah pastinya perbuatan buruk itu tidak kita ikhlaskan kerana Allah melainkan perbuatan baik sahaja.

Oleh itu, bagi yang dalam lamunan asmara atau masih dalam dilema, gunakanlah akal dengan bijaksana untuk menimbang baik buruknya sesuatu perkara. Ikutlah ajaran Islam secara keseluruhannya, bukan separus-separuh sahaja. Bagi yang tidak bercouple, Alhamdulillah. Bukan bermakna perasaan anda sudah tiada, tetapi peliharalah kesucian hati agar indah pada pandangan Rabbi. Akhir kalam, Islam itu indah dan tidak susah, tetapi manusialah yang membuatkannya susah. Wallahualam