Become our Fan

Nov 18, 2009

Muhasabah Diri

Muhasabah adalah perilaku bagi mengitung dan memperelokkan diri yang terbentuk di dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan yang boleh menjadi pengalang untuk mandapat keredhaan dari Allah Taala.


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:


Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang menikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak). (Riwayat al-Tarmizi).


Sesiapa yang bermuhasabah dirinya maka dia tidak akan meninggalkan ruang dan masa untuk dirinya melakukan perkara-perkara yang batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang yang dia lakukannya terhadap Allah Taala kerana takutnya diri ini kepada kekuasaanNya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan?


Berkata as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie:


Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah Taala. (Kitab: al-Burhan al-Muayyad).




Secara tegasnya muhasabah pasti akan menghasilkan perasaan bertanggungjawab terhadap Allah Taala dan rasulNya serta makhluk-makhlukNya. Melalui muhasabah juga manusia merasa diri mereka tidak diciptakan oleh Allah Taala dengan sia-sia. Setiap manusia pasti akan kembali semula kepada Allah Taala apabila telah sampai waktunya.

Firman Allah Taala bermaksud:

Setiap yang berjiwa (yang bernyawa) akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ia telah beruntung. Kehidupan dunai itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah ali-Imran: Ayat 185).

Di dalam kesibukkan kita mengejar kekayaan dunia ini maka janganlah lupa juga untuk kita menyibukkan diri dengan mengingati Allah Taala. Perkara seperti inilah yang selalu dituntut oleh agama Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka segeralah kembali kepada Allah maka sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu. (Surah adz-Dzaariyaat: Ayat 50).

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang yang benar. (Surah at-Taubah: Ayat 119).

Adapun golongan sufi sentiasa menyibukkan diri dengan penghambaan dan pengabdian diri kepada Allah Taala. Mereka beriman di dalam perjalanan musafir ini menuju Allah Taala dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hati mereka sentiasa mengingati bahawa mereka akan kembali kepada Allah Taala pada setiap masa.

Firman Allah Taala bermaksud:

Di tempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi tuhan (Allah Taala) Maha Kuasa. (surah al-Qamar: Ayat 55).

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq:

Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat redha nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimilah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang sahih tanpa bertolak-ansur terhadap perkara yang telah nyata salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas. (Kitab: Qawaid al-Tasawuf).

Demikianlah pentingnya muhasabah di dalam diri setiap individu. Tanpa muhasabah yang ikhlas maka seseorang itu akan sentiasa berasa diri tidak pernah melakukan kesalahan. Bermuhasabahlah diri dengan hati yang terbuka agar kita boleh memperbaiki kebatilan dan kelamahan diri sebelum diri kita menemui ajal.

Berkata Saidina Umar al-Khattab:

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang. (Kitab: Tahzib Madarij al-Salikin).




Nov 15, 2009

Terpadamnya Api Neraka Hanya Kerana Air Mata





Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya." Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut." Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku." Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W" Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu. Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata." 


Nov 11, 2009

DIALOG RASULULLAH DENGAN IBLIS LAKNATULLAH

Kepada sahabatku semua..... ambilah pengajaran dari peristiwa di bawah ini. Dan ketahuilah jika kita mengetahui strategi lawan kita, maka lebih cerah peluang kita untuk mengalahkan mereka......

Allah swt telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa dengan Rasulullah s.a.w untuk memberitahu segala rahsianya; samada yang disukai mahupun yang dibencinya.

Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad s.a.w dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia. Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata, "Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah s.a.w.

Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras" Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah saw dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah saw. Maka sembah Iblis (alaihi laknat),"Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?" Maka jawab Nabi dengah marah "Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga, Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, kisah Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau.
m
Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?" Sembah Iblis,"Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan." Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu" Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.

Soalan Nabi yang Pertama - "Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?"
Jawab Iblis - "Ya Nabi Allah!Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini" Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,"Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba"

Soalan Nabi ke 2 - "Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah"
Jawab Iblis - "Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram. Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglaah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba goda mereka setiap saat."

Soalan Nabi ke 3 - "Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?"
Jawab Iblis - "Sekelian itu adalah anugerah daripada Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yang tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah SWT. hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah.
Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kpd hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri(Siti Hawa) yang memerintah sekelian bidadari. Hamba bertanbah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat. Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dengan berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah daripada api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan."

Soalan Nabi ke 4 - "Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?"
Jawab Iblis - "Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba"

Soalan Nabi ke 5 - "Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis - "Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya - matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu semua membawa kpd kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman"

Soalan Nabi ke 6 - "Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?"
Jawab Iblis - "Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya."

Soalan Nabi ke 7 - "Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?"
Jawab Iblis - "Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya"

Soalan Nabi ke 8 - "Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis - "Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang menhancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa."

Soalan Nabi ke 9 - "Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?"
Jawab Iblis - "Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar- besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang "Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz Hadis tuan. Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan telah mengatakan, "JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku" kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'. Saidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kpdnya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,"Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid" Saidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menunduk kan kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' - dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata "Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.

Soalan Nabi ke 10 - "Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?"
Jawab Iblis - "Umat tuan itu ada tiga macam. Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s "Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat" Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk kedalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kpd dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur"

Soalan Nabi ke 11 - "Siapa yang serupa dengan engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam" 



Soalan Nabi ke 12 - " Siapa yang mencahayakan muka engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji"

Soalan Nabi ke 13 - "Apakah rahsia engkau kepada umatku?"
Jawab Iblis - Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari"

Soalan Nabi ke 14 - "Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis - "Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Inisemua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang."

Soalan Nabi ke 15 - "Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?"
Jawab Iblis - "Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kpd Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya."

Soalan Nabi ke 16 - "Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?"
Jawab Iblis - "Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu"

Soalan Nabi ke 17 - "Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat"

Soalan Nabi ke 18 - "Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yg banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam"

Soalan Nabi ke 19 - "Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya"

Soalan Nabi ke 20 - "Apa lagi yang memecahkan mata engkau?"
Jawab iblis -"Orang yang taat kpd kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup"

Semoga dapat berfaedah dan pengajaran kepada kita semua.
Wassalam.

Nov 9, 2009

Sunah Bersiwak

Islam memberikan sanjungan tinggi terhadap kebersihan, malah diangkat di kedudukan istimewa sehingga Nabi Muhammad s.a.w pernah menegaskan sebagai sebahagian daripada iman. Kebersihan dilihat melalui ibadat rutin harian seorang muslim yang bertitik tolak daripada amalan menyucikan diri melalui wuduk, kebersihan pakaian dan tempat ibadat. Nabi s.a.w menunjukkan isyarat penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula dari tubuh badan baik rohani atau jasmani, sehingga pakaian, kediaman dan persekitaran, harus dipastikan bersih. Anggota luaran lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian dan dandanan kerana ia membentuk personaliti diri seseorang selain mengelak penyakit.

Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud:


"Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja)."
(Hadis riwayat Muslim)


Antara yang diberikan penekanan ialah kebersihan mulut dan gigi, kerana Rasulullah s.a.w ada menyatakan dalam sabda bermaksud:


"Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi (menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat."
(Hadis riwayat Muslim)


Membersihkan mulut dan gigi atau bersugi, dalam bahasa Arabnya disebut siwak, sangatlah dianjurkan Islam, bahkan baginda menyatakan:


"Bersiwak itu menyucikan mulut, diredai Tuhan dan dibenci syaitan."

Siwak merujuk kepada dua pengertian iaitu perbuatan menggosok gigi dan membersihkan mulut serta alat atau kayu yang digunakan untuk menggosok gigi, dipanggil kayu siwak. Nabi s.a.w sendiri dilaporkan membersihkan gigi, paling kurang dua kali sehari. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Omar:


"Nabi bersiwak (menggosok gigi) pada permulaan siang dan akhirnya."


Namun, kebiasaannya Nabi s.a.w menggosok gigi berulang kali setiap hari. Sehubungan dengan ini, Amir bin Rabiah melaporkan:


"Aku melihat nabi menggosok gigi (berulang-ulang kali) sehingga aku tidak mampu menghitung jumlahnya ketika baginda berpuasa."
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)


Ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh M S Al-Munajjid, berkata Imam Nawawi dilaporkan ada menyatakan ulama bersependapat penggunaan siwak adalah satu sunnah. Menurutnya, satu lagi daripada bukti yang menunjukkan pentingnya amalan itu apabila sesetengah ulama salaf (silam) seperti Ishaq ibn Rahawayh, berpendapat ia kewajipan.

Siwak menurut kesepakatan ulama yang paling baik dengan ranting pokok arak, kerana baunya harum, malah seratnya sangat berkesan membersihkan sisa makanan di celah gigi. Jika ranting pokok arak tidak diperoleh, tangkai daun pokok palma atau ranting pokok zaitun boleh digunakan. Jika bahan itu tidak diperoleh, mana-mana bentuk kayu yang baik untuk membersihkan dan tidak mencederakan gigi boleh digunakan untuk membersihkan mulut. Ini termasuklah penggunaan berus gigi moden.

Pembersihan gigi dan mulut menggunakan kayu atau ranting dari pohon arak (salvadora persica) berlaku sejak berkurun yang lalu, kerana ia kaya dengan serat dan khasiat bagi kesihatan mulut dan gigi. Justeru itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dilaporkan mempromosikannya bagi kegunaan pembersihan mulut. Kajian mendapati kayu sugi daripada pohon arak mempunyai kelebihan secara semula jadi. Penyelidikan Dr Otaybi dari Arab Saudi membuka era baru terhadap kajian kayu terbabit, apabila menemui kesan sangat positif terhadap sistem kekebalan badan. Malah, penyelidik lain mendapati ia mempunyai kesan baik bagi kesihatan terutama dalam proses antiketagihan perokok, sama ada untuk tujuan penyembuhan atau pencegahan, selain bahan antiseptik, astringen, pencuci dan dan fluorida (bahan penghalang kerosakan dan kereputan gigi).

Amalan membersihkan mulut dan gigi menurut ulama sangat dituntut. Waktu melakukan siwak, iaitu:

  1. Ketika mahu berwuduk dan mengerjakan solat.
  2. Apabila memasuki rumah dan bersama keluarga. Aishah ketika ditanya tindakan pertama dilakukan Nabi s.a.w apabila tiba di rumah, beliau berkata:


    "Apabila baginda memasuki rumah, perkara pertama yang baginda lakukan ialah siwak."
    (Hadis riwayat Muslim)


  3. Apabila bangun dari tidur.


    Huzaifah ibn Al-Yaman r.a menyatakan apabila Nabi s.a.w bangun pada waktu malam, baginda membersihkan mulut dengan siwak secara sempurna.
    (Hadis riwayat Al-Bukhari)


  4. Apabila bau mulut seseorang berubah, sama ada disebabkan makan makanan yang berbau atau tidak makan dan minum dalam tempoh yang lama.
  5. Ketika ke masjid. Penggunaan siwak sebahagian daripada dandanan yang sangat digalakkan bagi muslim pada setiap kali mendirikan solat. Ini sesuai dengan firman Allah dalam ayat 31, dari surah Al-A'raf, maksudnya:


    "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (sembahyang)."


  6. Apabila membaca al-Quran dan mengikuti majlis tertentu khususnya majlis mengingati Allah.


Ulama bersependapat tiada salahnya menggunakan siwak pada siang hari apabila seseorang itu berpuasa, cuma mereka berbeza pada waktu tengah hari, dengan sesetengahnya mengatakan makruh. Di kalangan ulama juga ada perbezaan pendapat mengenai penggunaan tangan untuk bersiwak. Satu pendapat, iaitu majoriti ulama berpendapat lebih baik melakukannya dengan tangan kanan. Ini sesuai dengan hadis Aisyah r.a yang menyatakan:


"Nabi s.a.w gemar memulakan dengan yang kanan apabila memakai kasut, turun (dari untanya), apabila membersihkan diri dan dalam semua perkara."


Mereka juga menyatakan siwak adalah satu perkara daripada ibadat yang mendekatkan seseorang terhadap Allah, jadi tidak sepatutnya dilakukan dengan tangan kiri. Ulama lain berpendapat ia baik dilakukan dengan tangan kiri. Pendapat ini dikatakan daripada mazhab Imam Ahmad dan pandangan ini disokong Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah. Sesetengah ulama berpendapat, apabila seseorang menggunakan siwak dengan niat mengikuti sunnah, dia sepatutnya melakukan dengan tangan kanan dan jika untuk menghilangkan kekotoran, sepatutnya dengan tangan kiri.

Berdasarkan isyarat daripada al-Quran dan penegasan Nabi s.a.w, ditambah dengan perbincangan ulama dan kajian pakar perubatan jelas menunjukkan persoalan ini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.