Manusia perlu menghayati hikmah fenomena alam...

SEKALI lagi, baru-baru ini kita diperlihatkan dengan kuasa Allah yang Maha Agung iaitu kejadian gerhana matahari. Matahari yang bercahaya di siang hari penuh purnama secara tiba-tiba hilang cahayanya sedikit demi sedikit sehinggalah tiada lagi cahaya kelihatan. Begitulah kehebatan kekuasaan Allah yang mampu mengubah segala-galanya di langit dan bumi pada bila-bila masa dan tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat qada dan qadar-Nya. Allah berfirman dalam al-Quran menjelaskan bahawa perubahan yang berlaku terhadap matahari dan bulan itu adalah di bawah tadbir-Nya. Oleh itu sujudlah kepada Allah yang mengawal selia dan menyelenggara terbit dan terbenam matahari serta bulan.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari, tidak juga bulan dan sujudlah kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah." (Surah al-Fussilat, ayat 37) Setiap perubahan yang berlaku terhadap cakerawala mengandungi hikmah tersendiri. Begitu juga perubahan yang berlaku kepada matahari dan bulan, sudah pastinya mengandungi hikmah tertentu antaranya memberi peringatan supaya hamba-Nya tidak melampaui batas. Menurut catatan sejarah, gerhana matahari berlaku pada 10 Rabiul Awal tahun ke-8 hijrah. Kebetulan gerhana matahari itu berlaku sewaktu kematian putera Baginda SAW iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari.
Maka Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud: "Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah. Allah menakutkan hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang daripada kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu." (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abi Mas'ud al-Ansari) Sesungguhnya berlakunya gerhana matahari atau bulan memang menjadi tanda kebesaran Allah dan supaya manusia bersyukur terhadap-Nya tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah: Bagaimanakah pandanganmu jika Allah menjadikan malam kepadamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; siapakah selain Allah yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar? Katakanlah: Apakah pendapatmu jika Allah menjadikan siang kepadamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; siapakah tuhan selain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat? Dan di antara rahmat-Nya, Ia menjadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Qasas, ayat 71-73)
Mudah-mudahan dengan ada rahmat Allah itu, maka dapatlah manusia berterima kasih kerana sudah banyak menerima budi yang patut dibalas. Allah tidak sekali-kali mengharapkan pembalasan tetapi sebagai tanda syukur dan berterima kasih hendaklah manusia memuji Allah setulus dan seikhlas hati tanpa menyengutukan-Nya. Ahli falak Islam yang masyhur, Imam al-Khawarizmi berpendapat setiap dua jisim yang berdekatan mewujudkan kesan tarik menarik antara satu sama lain, sama ada kuat atau lemah tarikan itu. Oleh kerana sewaktu berlakunya gerhana matahari, matahari berada hampir dengan bumi, pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang mengakibatkan berlakunya perubahan angin yang memberi kesan kepada cuaca dan musim. Hal ini juga boleh membawa perubahan kepada tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan benda hidup di dunia ini. Imam an-Nasaie meriwayatkan, ummul mukminin Saidatina Aishah berkata: "Dan sesungguhnya sudah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu melihat terjadi gerhana matahari atau bulan, maka hendaklah kamu mendirikan solat sunat gerhana dan bersedekah serta memperbanyak mengingati Allah. Sabda Nabi SAW: Wahai umat Muhammad, jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa dan banyak menangis." Justeru, tinggalkanlah maksiat jika kita sudah terlanjur dan jauhi maksiat sebelum terjebak. Ahmad dan Salamah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila berleluasa maksiat di kalangan umatku, nescaya Allah limpahkan azab di sisinya. Aku bertanya: Ya Rasulullah, jika di kalangan mereka itu ada orang soleh? Rasulullah SAW menjawab: Benar! Ummu Salamah bertanya: Kenapa orang yang soleh juga ditimpakan azab? Rasulullah SAW menjawab: Mereka ditimpakan azab bersama manusia yang lain kemudian mendapat keampunan Allah dan mendapat keredaan-Nya." Hayatilah hikmah di sebalik setiap peristiwa, kejadian dan fenomena alam sama ada bala atau ujian daripada Allah serta teguhkan iman dengan nasihat:
· Merfikir dan bertafakur setiap kejadian fenomena alam;
· Memperingati nikmat syurga dan azab neraka;
· Menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada Allah;
· Menghitung, mempertingkatkan dan memperkemaskan amal kebajikan sepanjang masa; dan
· Bersegera memohon taubat kepada Allah atas kealpaan dan keingkaran mentaati perintah-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada tujuan yang benar; Ia menjadikan malam melingkari siang, dan menjadikan siang melingkari malam; dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintah-Nya, setiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni." (Surah az-Zumar, ayat 5) Khutbah online Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Sumber dari Berita Harian_31 Januari 2009_sabtu