Azab berat menunggu insan putar belit hukum agama

Islam menetapkan perkara halal serta dilarang untuk elakkan kemudaratan kepada masyarakat HARI ini hidup manusia banyak dikuasai nafsu. Ada masanya nafsu itu dilihat bersifat lebih buruk daripada kelakuan binatang. Sedangkan manusia diberi akal untuk berfikir dan membezakannya dengan haiwan. Hidup kita ada peraturan dan batas perlu diikuti dan dipatuhi demi kesejahteraan serta keharmonian hidup. Tanpa peraturan, batasan dan undang-undang, maka dibimbangi hidup manusia akan jadi haru-biru serta kucar-kacir. Allah SWT menggariskan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi semasa hidup. Menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah SWT untuk menjauhkan diri daripada perkara dilarang dan ditegah Allah SWT.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Apa yang dihalalkan Allah di dalam Kitab-Nya adalah halal, dan apa yang diharamkan-Nya adalah haram, dan apa yang tidak dijelaskan-Nya adalah kemurahan ('afiah), maka terimalah daripada Allah kemurahan itu, sesungguhnya Allah tidak lupa." Kemudian Baginda SAW membaca ayat (ertinya): "Dan Rabbmu tidak pernah lupa." (Hadis riwayat al-Hakim) Allah SWT memberi peringatan kepada manusia dalam firman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mengatakan apa yang disebut oleh lidahmu secara dusta: ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan pembohongan terhadap Allah." (Surah an-Nahl, ayat 116) Firman Allah SWT itu jelas dan mudah difahami, iaitu benda yang halal tetap halal dan haram (yang dilarang) tetap haram. Manusia tidak boleh mengatakan halal itu haram dan sebaliknya. Azab amat berat menanti mereka yang melanggar larangan ditetapkan Allah SWT.
Melainkan mereka tidak takutkan seksaan Allah SWT kerana amaran sudah diberi tetapi masih ada yang tergamak melakukan perbuatan dilarang. Keberanian itu seolah-olah mereka tidak menghiraukan amaran diberi kepada mereka yang menderhaka perintah Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan barang siapa yang menderhaka Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam neraka sedang ia kekal di dalamnya, dan baginya seksa yang menghinakan." (Surah an-Nisa', ayat 14) Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apapun yang aku larang kalian mengerjakannya, maka jauhilah. Dan apa saja yang aku perintahkan kepada kalian, maka lakukanlah sesuai dengan kemampuan kalian." (Hadis riwayat Muslim) Larangan Allah SWT semata-mata untuk kebaikan manusia juga kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang akan terjadi kepada manusia jika mereka melanggar peraturan diperintahkan-Nya. Contoh paling mudah ialah Allah SWT mengharamkan bagi orang Islam menjual dan meminum arak.
Arak adalah minuman memabukkan dan mereka yang dalam keadaan mabuk akan menjadi tidak waras hingga ada kalanya tindakan mereka mendatangkan mudarat serta bencana kepada diri sendiri atau orang di sekeliling. Si peminum boleh bertindak di luar duga, seperti mencederakan orang tidak berdosa hatta sanggup membunuh sekali. Justeru, Allah haramkan bagi orang Islam menjual dan meminum arak. Namun begitu, ada segelintir umat Islam yang berani melanggar peraturan ditetapkan Allah SWT. Mereka tidak takut Allah yang Maha Besar dan Maha Perkasa sekali gus tidak takut seksa yang dijanjikan kerana menderhaka kepada Allah SWT. Banyak lagi peraturan dilanggar umat Islam antaranya memberi dan menerima rasuah, menipu dalam jual beli barang, melakukan zina, tidak berlaku adil kepada isteri apabila berpoligami, mengambil dan memakan riba, menyakiti jiran serta perlakuan lain yang dimurkai Allah SWT. Di segi berpakaian pula, larangan yang selalu diabaikan umat Islam ialah memakai emas dan sutera bagi lelaki. Masih ada lelaki Islam yang gemar memakai sutera dan emas seperti rantai, jam tangan, pen, kancing baju terutama di kalangan mereka yang berada. Diriwayatkan daripada Abu Mursa al-Asy'ari bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dihalalkan sutera dan emas bagi kaum wanita dari umatku, dan diharamkan atas kaum lelakinya." (Hadis riwayat Ahmad) Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW pernah melihat sebentuk cincin emas di tangan seorang lelaki, lalu Baginda menanggalkannya dan membuangnya seraya berkata: "Apakah seseorang di antara kamu sengaja mengambil bara api dan meletakkannya di tangannya?" Kerap berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah perbuatan menceritakan atau mendedahkan aib orang lain. Perbuatan menceritakan dan mendedahkan keburukan orang lain semacam menjadi satu budaya di kalangan orang Islam, terutama mereka yang lemah imannya. Allah SWT melarang dan mencegah hamba-Nya mencemarkan kehormatan seseorang di depan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya." (Surah al-Hujurat, ayat 12).
sumber dari berita harian

Popular posts from this blog

Tanda-tanda Iman Lemah dan Cara-cara Mengatasinya

'IKHWAN' - UMAT YANG DIRINDUI OLEH NABI