CCTV!!

AWAS!!! Anda sedang diperhatikan melalui kamera litar tertutup"

Saya sudah dapat menghafal tulisan ini setiap kali pintu lif di Desasiswa Restu terbuka.

Liar mata saya mencari kedudukan kamera tersebut. Tetapi pandangan saya hanya seimbas sahaja. Dipandang lama-lama takut muka dicam oleh pengawal sehingga menimbulkan syak wasangka. Namun di sudut kecil hati saya timbul persoalan yang sangat membimbangkan tatkala kewujudan kamera litar tertutup (CCTV) ini yang semakin bertambah di sekitar kawasan terbuka mahupun tertutup. Percaya atau tidak , CCTV adalah simbol kejatuhan peradaban manusia yang paling hina pernah tercatat dalam sejarah dunia.

CCTV dan Masyarakat

Dalam kes pembunuhan Nurin Jazlin yang lepas, selepas polis melakukan penyiasatan secara besar-besaran di samping bantuan yang menyeluruh daripada semua golongan masyarakat, dalang di sebalik tragedi yang menyayat hati ini belum lagi ditangkap mahupun dikenalpasti. Malah, rakaman CCTV yang menunjukkan pembunuh yang disyaki terlibat juga tidak dapat dicam oleh pihak polis sendiri. Selang beberapa lama, timbul pula kes kehilangan adik Sharlinie yang sehingga kini masih belum diketahui secara terperinci.

Pihak berkuasa tempatan pula giat melaburkan dana besar-besaran dalam memasang CCTV di sekitar kawasan yang dikenalpasti sebagai tempat kekerapan jenayah yang tinggi terutama ragut jalanan, rogol di kawasan yang jauh dari tumpuan orang ramai , peras ugut di lorong-lorong gelap, gangster, rompakan yang tertumpu di kawasan bank-bank, kecurian terutama di kawasan perumahan yang tiada pengawal keselamatan dan sebagainya. Malah dalam akhbar Berita Mingguan bertarikh 20 Julai 2008, penyelesaian ini diketengahkan juga oleh beberapa pihak yang berkenaan kepada sistem pendidikan sebagai penyelesaian utama kepada kes-kes juvana yang semakin melambak di sekolah-sekolah. Sekolah sudah menjadi 'penjara'!

Manusia Berkiblat Dunia

Jika dikaji dengan teliti, mentaliti manusia yang hanya mementingkan keduniaan terutama harta, pangkat, serta kuasa menyebabkan kerosakan sistem masyarakat yang sangat kritikal. Hampir setiap orang tergila-gilakan keseronokan dan kepuasan fizikal semata-mata dalam mengejar 'dunia' yang diperkenalkan oleh barat – modenisasi hidup.

Persoalan hiburan yang melampau, urus niaga berteraskan keuntungan yang menindas, sosio-ekonomi yang bercampur halal haram, gaya hidup berkiblatkan barat, keselesaan yang berlebih-lebihan dan sebagainya kini menjerut leher masyarakat yang terlalu asyik dengan keduniaan sehingga tanpa disedari mereka melawan Allah s.w.t.

Sogokan keduniaan yang disalurkan oleh media cetak serta saluran informasi dan hiburan yang pelbagai di internet dan televisyen menyebabkan mentaliti masyarakat menjadi bernafsu dalam mengejar keseronokan. Pemikiran masyarakat sudah tertumpu kepada istilah 'MEWAH', 'MODEN', dan 'MATERIAL'. Kebahagiaan manusia juga diiktiraf umum jika memenuhi ketiga-tiga kriteria ini. Ternyata, peradaban manusia sudah hancur.

Makanannya tidak lagi nasi lemak atau roti canai. Semua sudah bertukar kepada breakfast di McDonald. Minumannya bukan lagi sirap bandung tetapi bertukar kepada Coca-Cola. Namun, mereka tidak sedar idealogi serta kerosakan yang dibawa di sebalik jenama yang dipopularkan oleh barat ini. Malah, di barat sendiri, jenama-jenama ini ditentang habis-habisan dan dipulaukan kerana orang-orang barat banyak membaca dan mengkaji serta mempunyai kesedaran yang tinggi dalam membawa kehidupan mereka termasuk masyarakat di sekelilingnya ke arah yang lebih baik.

Siapa harus dipersalahkan? Orang yang melambakkan keseronokan kepada masyarakat atau orang yang sedar mengenai hal ini namun tidak berbuat apa-apa? Tepuk kepala tanya minda.

Ber'aqidah'kan Teknologi

Pemasangan CCTV jika dilihat dengan teliti dan matang sebenarnya adalah untuk mengawal tingkahlaku manusia yang sudah tidak boleh dipercayai. Malah, teknologi yang diperkenalkan ini juga dipercayai dapat mengurangkan kadar jenayah serta keburukan akhlak oleh semua pihak. Maka perkembangan teknologi ini diterima pakai sebagai 'pengawal' akhlak manusia, namun tanpa disedari, manusia sudah tidak percaya kepada Yang Maha Melihat, iaitu Allah s.w.t.

Peningkatan jenayah di sekolah pula dilihat sebagai satu kesilapan sistem pendidikan berteraskan barat dalam membentuk manusia yang lebih beradab. Pertambahan bilangan pelajar yang disingkirkan dari sekolah akibat kes-kes jenayah bukanlah satu penyelsaian pendidikan berlandaskan Islam. Malah, Islam menyeru kepada umatnya supaya mendidik manusia tanpa mengira latar belakang agar mereka menjadi insan yang benar-benar beradab sebagai hamba kepada Penciptanya, dan sebagai khalifah bagi semua makhluk di muka bumi.

Persoalan falsafah pendidikan serta peranan guru sebagai murabbi kepada anak-anak murid perlu diteliti dan dinilai dengan telus oleh semua pihak lebih-lebih lagi para penggubal polisi pendidikan. Konsep pendidikan berteraskan Islam haruslah dikembalikan semula setelah sekian lama kita mewarisi sistem pendidikan barat selepas era kolonialisasi.

Seorang pemandu teragak-agak untuk melanggar lampu isyarat merah di simpang jalan pada jam 3 pagi kerana takutkan kamera litar tertutup. Namun adakah dia teragak-agak untuk tidak solat atau minum arak di rumah sedangkan tidak ada sesiapa yang mengetahui dia berbuat atau tidak berbuat sedemikian?

Kayu ukurnya ialah keimanan kepada Allah s.w.t yang benar-benar mantap.

Kembali Faham Islam

Tidak ada penyelesaian yang lain melainkan kembali kepada Islam. Pemasangan CCTV sebagai kawalan kepada kes-kes jenayah hanyalah menimbulkan rasa hipokrit semata-mata. Tidak dinafikan, kadar jenayah mungkin lebih rendah jika dibandingkan selepas pemasangan CCTV ini tetapi jenayah yang lebih besar adalah jenayah syirik kepada Allah s.w.t dengan mengimani CCTV sebagai kayu ukur untuk berbuat baik.

Sampai bila peradaban manusia akan dikawal oleh teknologi? Mungkinkah suatu hari nanti manusia terpaksa menanam cip komputer dalam otak masing-masing lalu diisyaratkan ke Putrajaya sebagai tindakan terakhir bagi mengawal kelakuan manusia yang semakin hari semakin biadap?

Hakikatnya, manusia sudah diajar oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam menanam 'cip' aqidah yang sahih dan terus menerus dihubungkan kepada Allah s.w.t sebagai Pengawal segala kelakuan manusia melalui ilmu serta iman kepada-Nya. Sebagai timbal balik, Allah s.w.t menjanjikan syurga dan neraka kepada hambanya mengikut keimanan mereka.

Serangan ke atas Islam dari pelbagai sudut terutama aqidah menyebabkan pegangan muslim terhadap agamanya sendiri kian longgar. Ancaman ajaran sesat yang semakin bertambah, serangan oleh golongan Islam Liberal, tentangan yang tidak putus-putus daripada golongan yang membenci Islam, penyalahgunaan kuasa agama dalam politik, pengeksploitasian Islam untuk kepentingan peribadi dan lain-lain lagi menyebabkan Islam menjadi kutukan masyarakat yang tidak memahami dengan jelas ajaran yang diredhai oleh Allah s.w.t ini. Tidak hairanlah jika kebanyakan kes-kes jenayah berat yang berlaku melibatkan sebahagian besar golongan muslim. Pemahaman Islam yang sebenar dalam setiap aspek kehidupan perlu ditekankan supaya kehidupan manusia akan menjadi lebih teratur serta stabil.

Islam itu sudah lengkap, tetapi muslim itu belum lengkap jika belum faham Islam dengan lengkap.


Sumber : http://darahmerdeka.wordpress.com/

Belum selesai dengan isu karikatur Rasulullah s.a.w yang dilukis Kurt Westergaard, muncul pula filem pendek Fitna terbitan Geert Wilders yang mengutuk ayat-ayat al-Quran kononnya sebagai pencetus keganasan dalam Islam. Malah kutukan yang direka-reka oleh kedua-dua ikon anti-Islam ini disambut 'meriah' oleh kebanyakan golongan anti-Islam yang lain sama ada mereka ini termakan dengan 'racun' yang dibawa oleh pihak anti-Islam atau mereka terikut-ikut dengan kebebasan bersuara/berkarya mereka sehingga Islam menjadi medan paling nikmat untuk dijadikan humor.

Terbaru isu kutukan terhadap Rasulullah s.a.w yang dibuat oleh Seppo Lehto, seorang aktivis berbangsa Finland sehingga dia dijatuhkan hukuman penjara selama 2 tahun. Video lukisan penghinaan terhadap Rasulullah yang dibuatnya telah disiarkan dalam YouTube dan banyak lagi laman web lain menunjukkan sikap keterlaluan dan melampau pihak anti-Islam dalam memburukkan pandangan masyarakat umum terhadap Islam. Mengapa Islam yang dipilih sebagai agama utama yang ingin dihina? Mengapa isu penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w dan Islam tidak putus-putus sehingga hari ini?

Salah Umat Islam?

Tidak dinafikan antara puncanya ialah sikap umat Islam sendiri yang kurang sensitif terhadap isu-isu yang berkaitan penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w dan Islam. Jika dilihat dengan teliti, umat Islam hari ini semakin lemah dan rapuh diratah musuh-musuh Islam secara terang-terangan mahupun senyap-senyap. Aqidah umat Islam dilondeh satu persatu sehingga kita tidak sedar bahawa Islam sudah pun bertukar wajah menjadi ikon paling lemah di mata masyarakat. Saya tidak sanggup menulis semua ini, namun kepahitan kebenaran patut ditelan.

Pengalaman saya dalam menganjurkan program-program bersifat keIslaman kebanyakannya di'anak-tiri'kan malah kurang disertai oleh mana-mana individu Islam terutama golongan mahasiswa. Program-program ini juga disekat oleh pihak pentadbiran universiti dan dilabel sebagai 'underground'. Agak hairan kerana orang Islam sendiri yang menyekat perkembangan agama yang dianutinya. Takutkan agama sendirikah?

Kefahaman terhadap ajaran Islam sebenar perlu dididik sejak kecil hinggalah ke akhir hayat. Pembelajaran matapelajaran Agama Islam di sekolah langsung tidak cukup untuk memberi masyarakat kefahaman Islam yang sahih. Malah, kebanyakan topik yang diajar di sekolah bersifat hafalan dan ibadat ritual semata-mata. Bukankah ini adalah sekular (memisahkan agama dan kehidupan)? Islam itu bersifat syumul (menyeluruh). Islam adalah cara hidup, bukan agama semata-mata.

Islam Bukan AGAMA

Agama diambil daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud 'tidak kacau' (A=tidak, GAMA=kacau). Takrifan AGAMA ini merangkumi 4 elemen penting iaitu ibadat, rumah ibadat, perkahwinan dan kematian. Kesemua agama di dunia berbeza dari segi 4 elemen ini. Kristian cara beribadatnya tentunya berbeza daripada Hindu, Buddha dan Yahudi. Rumah ibadat juga semestinya berlainan mengikut agama masing-masing. Namun, persoalan utama di sini ialah adakah Islam itu agama? Jawapan saya, TIDAK. Islam lebih tinggi daripada agama. Islam adalah CARA HIDUP (al-Dīn).

Walaupun dalam ajaran Hindu perempuan mestilah memakai sari dan menutup aurat (dalam pemahaman agama Hindu), etika ini tidak diwajibkan ketika di luar waktu ibadat atau rumah ibadat. Tidak hairanlah ramai wanita Hindu memakai skrit pendek ketika bersiar-siar atau berbikini di tepi pantai.

Kristian mempunyai ritual wajib untuk perkara berkaitan kematian. Ini sudah tertakluk dalam etika keagamaan Kristian itu sendiri untuk mengikut tatacara agama mereka. Apa akan terjadi jika mayat seorang penganut Kristian dibakar mengikut ajaran Hindu? Semestinya pergaduhan akan timbul sesama agama ini dan huru-hara akan tercetus.

Islam menekankan aspek CARA HIDUP, bermula dari persoalan yang sangat kecil hingga persoalan sebesar undang-undang negara Islam. Aurat wanita contohnya ditekankan dalam Islam dengan cukup sempurna. Bukan sahaja aurat wajib ditutup dalam masjid atau surau ketika bersolat, malah aurat wajib ditutup ketika keluar dari rumah dan di hadapan kaum lelaki bukan muhrim. Persoalan-persoalan lain juga ditekankan dalam Islam terhadap umatnya supaya diikuti sebagai ibadat harian selain daripada ibadat ritual (solat). Cantik bukan ajaran Islam? Setiap sisi dalam kehidupan adalah ibadat jika dilakukan dengan mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Subhanallah.

Sedarlah Umat Islam

Rata-rata masyarakat sudah lali dengan isu yang memijak Islam secara sedar atau tidak. Lambakan isu-isu ini jarang ditekankan dalam media massa kerana disaluti dengan 'ubat penenang' ciptaan pihak media. Pelbagai iklan dan berita 'kejayaan' umat Islam dieksploitasi menjadi kemegahan yang wajib disebut-sebut oleh masyarakat. Isu Masjid Kristal umpamanya, menjadi buah mulut ramai sebagai bukti ketamadunan masyarakat Islam di Malaysia. Benarkah? Tapi mengapa kiblat di masjid tersebut terpesong daripada arah sebenar Ka'abah? Mengapa masjid tersebut didirikan di pulau?

Sikap masyarakat Islam sendiri yang terlalu mengejar dunia menyebabkan pihak anti-Islam menghina Islam dengan sewenang-wenangnya tanpa pembelaan dari umat Islam. Kutukan demi kutukan, hinaan demi hinaan dilakukan dalam media secara tersurat dan tersirat menampakkan umat Islam berjaya dijinakkan dengan meletakkan keduniaan sebagai umpan.

Aqidah umat Islam jelas kian terhakis sehingga boleh timbulnya Rasul Melayu, Abdul Kahar Ahmad. Mengapa isu Kahar ini tidak ditentang habis-habisan oleh umat Islam sedangkan telah nyata Kahar sesat?! Mengapa perlu dibicarakan dalam mahkamah untuk membuktikan dia bersalah? Sudah sahih dia bersalah kerana penyelewengan aqidah yang dilakukannya. Jika saya mengaku saya Perdana Menteri Malaysia, saya akan disumbat ke dalam Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. Tetapi mengapa apabila Abdul Kahar mengaku Rasul, dia tidak dimasukkan ke sana?

Peranan Kita

Saya menyeru kepada semua umat Islam terutama diri saya sendiri untuk sama-sama memartabatkan kembali kedaulatan Islam dalam diri serta kehidupan seharian. Kebanyakan masyarakat bukan Islam bukanlah terlalu bencikan Islam dan ajarannya, tetapi salah faham terhadap kebenaran Islam itu tidak disampaikan oleh umat Islam secara benar. Mengapa masyarakat bukan Islam takutkan negara Islam? Mengapa mereka takutkan hudud sedangkan hukuman tersebut HANYA kepada orang Islam? Malah masyarakat bukan Islam wajib dilindungi dibawah pemerintahan negara Islam.

Kurangkan pergaduhan sesama Islam, beri pemahaman yang sahih kepada masyarakat bukan Islam, pandang kehadapan dan lihatlah siapa musuh Islam sebenar.

Comments

Popular posts from this blog

Tanda-tanda Iman Lemah dan Cara-cara Mengatasinya

'IKHWAN' - UMAT YANG DIRINDUI OLEH NABI