LULUS KONSERT AVRIL,PENGHINAAN KEPADA NEGARA DAN UMAT ISLAM

Tindakan jemaah menteri meluluskan semula konsert Avril adalah suatu penghinaan kepada negara Malaysia dan umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadhan pada bulan september ini. Walaupun Kementerian Kesenian dan Warisan dan PUSPAL telah membatalkan konsert yang akan diadakan pada 29 Ogos ini, tetapi ia diluluskan semula apabila diangkat kepada mesyuarat jemaah menteri semalam.Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Ini suatu tindakan yang kurang ajar, walaupun Shafie Afdal menyatakan bahawa penganjur hiburan diminta menghormati prosedur permohonan permit selepas ini.Ini menunjukkan tidak ada sedikit pun rasa hormat dan sensitif jemaah menteri kepada perasaan majoriti umat Islam dan warga pribumi di negara ini. Pembatalan konsert sebelum ini, bukan kerana menghormati hari kemerdekaan ke-51 tetapi hanya kerana kelambatan permohonan permit.
Maruah umat Islam dan rakyat Malaysia seperti dipijak-pijak dan dipermain oleh para jemaah menteri, semata-mata untuk menjaga hati Avril Lavigne.Di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya hendak memperjuangkan nasib umat Melayu dan Islam di negara ini. Mana perginya konsep AL-Falah laungan Najib dan Islam Hadhari yang di banggakan oleh Pak Lah?. Apa yang Shafie Afdal buat dalam KEKKWA untuk mempertahankan hak kesenian dan warisan bangsa, atau Shafie telah menyenaraikan budaya kebebasan barat sebagai salah satu budaya warisan bangsa?Ini juga menunjukkan kesediaan UMNO bermuzakarah dan berbincang isu umat Islam dan Melayu hanyalah hangat-hangat tahi ayam.
Pemuda Wilayah melihat seolah-olah menteri-menteri UMNO tunduk kepada tekanan luar apabila tiba-tiba sahaja bersetuju meluluskan konsert berkenaan. Menteri-menteri UMNO bacul kerana tidak dapat mempertahankan maruah umat Islam dan Melayu di negara ini.Pemuda Wilayah akan menghantar semula memorandum kepada pihak kerajaan bagi membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya kelulusan yang telah diberikan. Jika perlu Pemuda Wilayah akan turun berdemonstrasi di jalan raya membantah konsert Avril.
Pemuda Wilayah juga akan mengajak NGO-NGO Islam seperti GPMS, PPIM, PEKIDA, ABIM, JIM, TERAS dan GAMIS sama-sama membantah konsert tersebut. Ini bukan untuk kepentingan politik kerana ini membabitkan soal akhlak dan moral umat Islam.