Berundur Dalam Beribadah
“Naqib…….”, kedengaran suaranya yang lemah melalui telefon. “Ramai yang keluar hujung minggu ini”, katanya lagi. Naqib dapat mengagak mesej yang cuba disampaikan. “Apakah kamu bersedih?” soal Naqib. “Sedikitlah. Tidak ramai yang dapat hadir. Muka yang biasa, tiada. Apa kata ditangguhkan pada minggu hadapan”, dia mencadangkan. “Sedikit atau ramai bukanlah motivasinya. Mereka keluar mecari ilmu. Mereka yang tinggal di dalam juga perlukan sesuatu. Kita teruskan sahaja dengan apa yang ada”, Naqib memberikan keyakinan. “Baiklah. Kita teruskan!”, suaranya kembali ceria. Debaran Sebelum Bermula Setiap kali sebelum bermula, Naqib pasti berdebar dan tertanya-tanya. Berapa ramailah agaknya yang bakal turut serta. Astaghfirullah. Serahkan semuanya pada Allah. Naqib serta sahabat-sahabatnya telah berusaha. Jauh sekali ingin memaksa, sebaliknya memberikan pilihan serta kebebasan penuh pada mereka agar kehadiran lahir dari dalam diri. Jam menunjukkan masa yang dijanjikan...