Merebut Saham Anak Muda
“Para pelajar hanya mengikut perasaan. Tapi ingat, kalau kail panjang sejengkal, jangan laut hendak diduga!” seorang guru persatuan berucap di pentas. Beliau memperlekeh pandangan-pandangan anak muridnya yang mengkritik pihak atasan. Segalanya dipukul rata sebagai pandangan semangat tanpa sokongan ilmu apatah lagi pengalaman. “Ghurur!” kata sesetengah orang.
Perbuatan meremehkan orang muda bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan kita. Anak-anak muda itu sering digambarkan sebagai golongan yang berpemikiran singkat, tidak berfikir panjang, mengikut perasaan, belum mengenal realiti kehidupan, malah soal siapa makan garam dulu pun boleh dijadikan persoalan. Malah, alasan yang sama itu jugalah yang digunakan oleh kaum musyrikin semasa mengungkapkan tentang Ibrahim alayhi al-Salaam ketika berhala-berhala mereka dicela.
“(Setengah daripada) mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya (berhala)“
[Al-Anbiya’ 21: 60]
[Al-Anbiya’ 21: 60]
Sebagaimana yang diungkapkan oleh ahli Tafsir, kaum musyrikin itu dengan sengaja menggunakan ungkapan ‘pemuda’ atau al-fata kerana mahu meremehkan Ibrahim. Baginda dilabel sebagai anak muda, yang selalunya bertindak secara tidak matang, melulu dan boleh diabaikan sahaja mesejnya.
KELEBIHAN USIA MUDA
Tetapi menjadi orang muda bukan sesuatu yang kurang atau hina.
Kanak-kanak sentiasa tidak sabar mahu menjadi anak muda kerana mengimpikan apa yang hanya dimiliki oleh si anak muda. Orang tua juga terbuai-buai perasaannya apabila mengenangkan usia muda kerana memikirkan apa yang pernah dimilikinya pada usia itu. Usia muda adalah usia yang dicemburui oleh mereka yang tidak memilikinya.
Potensi!
Itulah nilai pada seorang anak muda. Potensi untuk impian dan harapan, hampir tanpa mengenal batasan. Bahkan usia muda itu yang menjadi usia pilihan bagi ahli Syurga.
Abu Sa`id dan Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Apabila ahli Syurga memasuki Syurga, seorang penyeru akan berkata: (kamu menerima satu janji daripada Allah) bahawa kamu akan terus hidup di dalamnya dan kamu tidak akan mati, kamu akan sihat di dalamnya dan kamu tidak akan sakit, kamu akan kekal muda di dalamnya dan kamu tidak akan menjadi tua, kamu akan sentiasa berasa tenang bahagia dan kamu tidak akan dirundung duka”
[Muslim]
[Muslim]
Usia emas itu hakikatnya adalah usia muda.
DI SISI ALLAH
Ada tiga kalimah serangkai yang memberikan makna si anak muda.
Pertamanya adalah ghulam. Keduanya adalah fata. Ketiganya adalah syaab.
Seorang anak muda bernama Ibrahim yang diperlekeh oleh kaum Musyrikin kerana menghina berhala sembahan mereka, digelar sebagai fata.
Ia disanggah oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala apabila kalimah yang sama (fata) digunakan pada memuji Ashaab al-Kahf:
“Sesungguhnya mereka itu anak-anak muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah petunjuk”
[al-Kahf 18: 13]
[al-Kahf 18: 13]
Allah Ta’aala gunakan kembali perkataan ‘anak muda’ (fata) itu sebagaimana yang kaum Ibrahim gunakan. Tetapi konotasinya berbeza. Jika anak muda dianggap sebagai ‘orang singkat’ oleh kaum Ibrahim yang musyrik, anak muda dipuji sebagai insan penuh potensi dan simbol survival perjuangan Tauhid di dalam kisah Ashaab al-Kahf.
Semuanya terletak pada nilai iman dan amal soleh. Apabila anak muda itu beriman, dan mereka berusaha pada mengisi makna iman itu, Allah Subhanahu wa Ta’aala memuji mereka dan menambahkan Taufiq-Nya dengan petunjuk dan bimbingan.
Pemuda beriman…nikmat besar bukan hanya pada tuan empunya diri, malah nikmat kepada umat sejagat.
Pemuda beriman…nikmat besar bukan hanya pada tuan empunya diri, malah nikmat kepada umat sejagat.
MESRAKAN, JANGAN LAGAKAN
Anak muda dan warga tua, setiap kelompok daripada keduanya memiliki apa yang tidak dimiliki oleh kelompok yang satu lagi.
Anak muda memiliki semangat, kesungguhan pada mendapatkan sesuatu, tubuh badan yang sihat bertenaga serta daya responsif yang optimum. Tetapi mereka harus akur dengan beberapa kelemahan yang ada. Kelemahan yang bukan disengaja, tetapi dek perjalanan hidup yang belum panjang untuk sampai kepada memilikinya.
Itulah pengalaman.
Anak muda kurang pengalaman. Sedangkan pengalaman adalah guru yang berbeza berbanding ilmu. Jika ilmu mengajar manusia menjadi alim (berilmu), pengalaman membentuk manusia menjadi hakim (bijaksana).
Di dalam al-Quran, Allah Subhanahu wa Ta’aala sering menggabungkan nama-Nya ALEEM dengan HAKEEM. Seandainya kombinasi ini mahu diteladani oleh manusia, ia mengajar kepada kita bahawa berilmu sahaja tidak memadai. Kesarjanaan bukan jaminan untuk bertindak tepat kerana apa yang harus datang sama adalah hikmah kebijaksanaan. Ilmu menganugerahkan kesarjanaan, masa dan pengalaman menganugerahkan hikmah kebijaksanaan.
Itulah kekurangan anak muda. Masa belum banyak memberikan pengalaman hidup, dan ilmu yang ada belum dimatangkan dengan pengalaman yang perlu.
Berbeza dengan orang tua yang lebih dewasa. Mereka menempuh dan menyaksikan pelbagai kitar usia manusia. Banyak peristiwa yang berlaku dan percubaan demi percubaan yang pernah diambil di sepanjang perjalanan hidup telah pun sampai kepada natijahnya. Cause and effect banyak yang sudah dilangsaikan dan semua itu menajamkan pemerhatian serta pandangan orang tua. “Kalaulah aku buat begini…” kata seorang tua. “Kalaulah aku tidak buat begitu…” keluh seorang yang lain.
Ungkapan-ungkapan itu datang setiap kali seorang tua menoleh ke belakang melihat kembali jejak perjalanan hidupnya. Tetapi kesedaran tentang betul dan salah itu terperangkap di dalam berkalau-kalau, kerana orang tua banyak kekangan. Tubuh badannya semakin lemah, daya bertindaknya mengalami kemerosotan, dan setelah selesa dengan apa yang menjadi kebiasaan, daya responsif terhadap seruan juga tidak pantas lagi.
Justeru bagi si anak muda, berdampinglah dengan orang tua. Bertalaqqilah kalian menadah pengalaman mereka. Minta nasihat dan bimbingan mereka, sabarkan diri dengan kerenah mereka.
Manakala bagi yang telah tua ditelan usia, jangan dibawa pengalaman ke kubur tanpa tinggalan, berdampinglah dengan anak muda. Jangan lokek berkongsi pengalaman dengan mereka. Betulkan silap mereka, tunjukkan potensi mereka. Dalam semua itu, sabarkan diri dengan kerenah mereka.
Jangan pula dimatikan potensi mereka. Seperti ungkapan Nelson Mandela: "When the water starts boiling it is foolish to turn off the heat"
KESAKITAN PROSES MENDIDIK ANAK MUDA
Mengenangkan pada besarnya makna usia muda, mereka menjadi sasaran semua. 90% manusia berfikir dan bertindak menjual barangan dan perkhidmatan mereka kepada orang muda. 10% manusia berfikir tentang cara untuk menyelamatkan mereka. Segelintir manusia, memindahkan fikiran itu kepada tindakan.
Tatkala anak muda diasak dengan pelbagai seruan, kelompok orang berusia yang mahu berusaha mendidik anak muda tidaklah ramai. Kekurangan ini diberatkan lagi oleh kesakitan-kesakitan yang mungkin dialami semasa mendidik golongan anak muda. Mereka itu ada kecenderungan yang ada kalanya memang mudah melukakan orang tua yang lebih berusia.
1. Tak Reti Bahasa
“Slm ust. Ana pelajar di Universiti ***. Ana pembaca setia blog anta. Jadi ana nak jemput anta datang berceramah di tempat ana. Berapa cas yang anta kenakan?”
Ia adalah salah satu email yang pernah saya terima daripada seorang mahasiswa. Dengan jarak usia yang mungkin mencecah 15 tahun, di'ana anta'kan oleh seorang anak muda mungkin boleh mengguris rasa dan menghilangkan mood untuk positif kepadanya. Malah silibus sekolah juga ada memberikan saranan tentang keelokan bahasa pada panggilan, juga bahasa surat rasmi. Saya sendiri dek tidak mengetahui sama ada yang menghantar email itu seorang yang lebih muda atau lebih tua, saya tidak lokek pada memanggilnya TUAN secara kasual sebagai tanda hormat dan memilih perkataan yang ’selamat’.
Tetapi anak muda sering salah bahasa. Cakapnya tidak tengok kiri dan kanan. Malah terus bertanyakan rate ceramah, benar-benar mewujudkan rasa tidak selesa. Namun, itulah harga pada usaha mendidik anak muda.
2. Common Sense Belum Terbina
“Sebelum sampai rumah untuk ambil ustaz, bagilah miss call, ok” saya menghantar sms kepada AJK program. Mereka akan menjemput saya di rumah sebelum subuh untuk dibawa mengendalikan sebuah sesi Training of Trainers (TOT) yang dijadualkan pada jam 6:30 pagi di Cheras. Saya mengingatkan mereka supaya memberikan saya miss call kerana saya tidur lewat malam itu kerana anak yang meragam. Bimbang tidak sedar dengan deringan jam.
Keesokan paginya, saya terbangun jam 4:30 kerana anak menangis mahukan susu. Selepas susu dibancuh, saya bangkit menuju bilik air sambil tangan mencapai telefon. Terkejut benar kerana ada beberapa miss call sudah terpampang dan di hadapan rumah saya ada sebuah kereta sedang menanti.
“Antumkah itu?” saya menelefon mereka. “Ya ustaz. Kami takut tak jumpa jalan!” jawab mereka. Subhanallah! Bimbang terlewat kerana mencari arah ke rumah saya, mereka bertolak awal dan tiba di hadapan rumah saya jam 4:30 pagi! Sedangkan lokasi program hanya 15 minit dari rumah. Terkulat-kulatlah saya bersiap dengan kepala yang agak pening kerana baru dua jam melelapkan mata.
Tiba di lokasi program tepat jam 5 pagi. Saya positifkan sahaja peristiwa itu dengan mengambilnya sebagai suatu suruhan daripada Allah agar saya panjangkan Qiamullail pagi itu. Demikianlah harga yang perlu dibayar semasa berurusan dengan Tarbiyah si anak muda.
3. Kuat Mendesak
“Ustaz tolong sambung hujah saya. Kawan saya ini seperti hendak murtad!” saya dikejutkan dengan panggilan telefon dan kemudiannya sms pada jam 2 pagi. Siapalah ‘budak’ ini? Berdebat jam 2 pagi dan kemudian mengejutkan saya untuk mempertahankannya yang kehabiskan hujah.
“Ustaz, saya ingin tahu bolehkah kita menyertai perarakan St. Patrick’s Day? Tolong jawab email saya ini secepat mungkin kerana kami perlu membuat keputusan bagi persiapan kelas”, email seorang pelajar dari bumi Shamrock Ireland. Mungkin dia menyangka saya tiada kerja lain. Duduk di rumah melayan hotline telefon dan oncall 24/7!
Anak muda selalu menggelar diri mereka sebagai kelompok pendesak. Desakan mereka bukan sahaja digeruni pemerintah, malah ustaz-ustaz juga sering ditekan dengan desakan yang tidak tentu hujung pangkalnya.
Saya positifkan sahaja kelakuan anak muda yang menyakitkan itu, bahawa mereka adalah kelompok yang berkeinginan tinggi, iaitu sesuatu yang sukar untuk dicari di celah-celah angguk warga tua yang tersandar di dinding mendengar kuliah.
BERSABARLAH
Mendidik anak muda, adalah persiapan diri saya sendiri pada mendidik anak-anak yang semakin meningkat usia. Ia penuh cabaran ia penuh kesakitan. Namun, fadhilatnya amat besar. Mendidik anak muda adalah pelaburan besar kita untuk mencipta masa depan yang lebih baik.
Justeru itu, selesai mengungkapkan kisah pemuda Ashaab al-Kahf, Allah Subhanahu wa Ta’aala memberikan peringatan kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan para murabbi umat akan hakikat ini:
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”
[Al-Kahf 18: 28]
[Al-Kahf 18: 28]
Bersabarlah dengan kerenah anak muda itu. Mereka tidak menginginkan apa-apa kecuali keredhaan-Nya. Maafkan kekurangan mereka, kuatkan semangat mendidik mereka. Jangan dicari habuan dunia, biar pun mendidik anak muda tidak menjadikan dirimu kaya raya.
Sesungguhnya pelaburan saham terhebat yang boleh engkau lakukan, adalah pada menumpahkan ilmu, pengalaman, nasihat, bimbingan dan panduan, kepada ANAK MUDA. Jika anak muda selalu susah mendapatkan khidmat orang tua-tua, saya berusaha menjadikan diri mengisi kelompongan itu. Mahukah kalian menyertainya?