Become our Fan

Jun 17, 2010

Bicara Hati Seorang Bernama Wanita


Segala puji hanya bagi Tuhan
Lantaran telah menjadikan daku seorang wanita
Dicipta dari tulang rusuk kiri Adam
Dengan seindah dan sebaik ciptaan

Daku
Si tulang bengkok
Yang Kau gubah dengan kekuatan perasaan
Mengatasi panjangnya akal fikiran
Sebagai fitrah dan anugerah
Hasil doa seorang lelaki
Namun Ya Allah
Biarkan kejadian ku memberi guna
Bengkok yang ada manfaatnya

Kiranya daku menjadi seorang isteri
Kurniakanlah pada ku kekuatan
Menjadi tulang belakang seorang suami.. seorang mujahid
Pengembang perjuangan di sayap kiri
Diadun dengan kelembutan
Menjadi teman sejati.. sahabat setia penyejuk mata
Pembina semangat dan penguat jiwa
Seanggun peribadi Siti Khadijah
Ketenangan Baginda Rasulullah utusan Allah

Bebas jiwa dari belenggu keperempuanan
Yang memiliki sembilan nafsu
Merdeka dari kepentingan peribadi
Setulus Siti Fatimah yang sering ditinggalkan suami Saidina Ali
Dihantar pemergiannya tanpa ditanya
Bila kan pulang?
Disambut kepulangannya dengan penuh khidmat dan kemanisan
Bersulamkan kemesraan
Rumah tangga adalah syurga
Wadah suburnya cinta ketuhanan Ubudiyyah
Akal yang tunggal tidak dibiarkan
Hanya berlegar di celahan periuk belanga
Di sebalik lipatan lampin anak
Menjangkau kebangkitan Islam di alam sejagat
Menjadi pentadbir di sebalik tabir!!


Namun Ya Tuhan
Siapalah daku untuk memiliki
Watak wanita solehah pendampingan Nabi
Dek berkaratnya mazmumah yang bersarang di hati
Maka kurniakanlah daku
Sekeping hati yang sentiasa insaf
Hak seorang suami
Tidak kan mungkin ku penuhi
Biar telah ku jilat nanahnya yang berlelehan
Biar telah ku tadahkan wajah ku
Buat mengesat debu di telapak kakinya

Dan sememangnya daku mengimpikan
Watak seorang ibu
Yang bakal melahirkan
Putera putera secekal Mus'ab bin Umar
Menggadai dunia demi kasih Tuhannya
Segigih Zubair Ibnu Awwaam
Yang diangkat Rasul sebagai hawarijnya
Hasil didikan seorang wanita bergelar ibu Jua...
Memiliki puteri setabah seteguh Masyitah
Rela direbus demi mempertahankan iman
Atau sesuci Maryan seluruh hidupnya
Mengabdikan diri kepada Tuhan

Meskipun daku bukan ibunya
Yang memiliki peribadi semurni Siti Fatimah
Ibu Syeikh Abdul Kadir Jailani
Yang tiap titis darah mampu berzikir kehadrat Ilahi

Namun...
Mudah mudahan zuriatku
Bakal menampilkan
Mujahid mujahid yang rindu memburu syahid
Srikandi srikandi yang mampu memakmurkan muka bumi Allah
Dengan ketaqwaan.. kesolehah ramainya ummat Rasulullah

Yang saling reda berkorban dan dikorbankan
Buat menyemarakkan Islam di akhir zaman
Sebagaimana kesah seorang ibu
Yang telah kematian putera puteranya di medan jihad;

"Mereka telah berbahagia sebagaimana aku bahagia
Aduhai.. kiranya aku punya seorang anak lagi
Ku relakan dia turut gugur di jalan Ilahi".
Dan seandainya daku ditakdirkan kehilangan mereka
Setenang Ummu Faisal
Yang tidak menjadikan kematian suami dan anak anaknya
Halangan kecintaan pada-Mu Ya Ilahi

Redalah daku yang dhaif ini sebagai hamba-Mu
Inilah pengaduan harap dan munajat
Kiranya kekasih-Mu sendiri pernah menyatakan
"Ku lihat kebanyakan dari isi neraka itu adalah wanita"