Kematian Suatu Kepastian

Tanpa kita sedari, masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Namun, kita terus terleka dengan pelbagai perkara yang melalaikan sehingga kita terlupa tujuan sebenar kita berada di muka bumi ini. Beruntunglah bagi mereka yang terus berpegang dengan kemudi keimanan, dan rugilah bagi mereka yang terus hanyut tanpa pedoman.

Sahabat-sahabatku,
Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapakah kita perlu berbicara tentang kematian? Sedangkan kita masih muda, perjalanan kita masih jauh. Kita hampir terlupa tentang hakikat sebuah kematian yang terus mengejar kita. Kematian itu PASTI. Tiada siapa dapat mengelak atau melambatkannya walaupun hanya beberapa detik. Malaikat Izrael tidak pernah alpa dalam menjalankan tugasnya. Hatta, setiap makhluk di muka bumi ini ada janji kematian tersandar ke atasnya. Marilah kita sama-sama merenungi firman Allah dalam surah Al-Anbiya ayat 34 dan 35 yang bermaksud :
“Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad),  adakah mereka akan hidup selama-lamanya? Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

Jelaslah pada kita bahawa kehidupan manusia bukan abadi, kematian pasti akan dirasakan bagi setiap yang bernyawa, dan bagi yang tinggal ia adalah ujian untuk menghadapinya.
Sahabat-sahabatku,

Apakah kepentingan untuk kita mengingati kematian?
1) Kematian merupakan peringatan yang terbaik. Allah tidak menyatakan bahawa kematian hanya pada orang yang lanjut usia atau yang menderita kesakitan. Hakikatnya, kematian tidak mengira usia, jantina, pangkat dan sebagainya.
2) Menjadi pemangkin untuk terus melakukan kebaikan. Hakikatnya, kita sering melakukan dosa sama ada disedari atau tidak. Andai kita mengira kita telah menggantikannya dengan amal kebaikan, persoalannya adakah amalan kita diterima-Nya? Adakah amalan itu disertai dengan keikhlasan?
3) Mengingatkan diri tentang matlamat utama kehidupan iaitu mardhatillah (keredhaan Allah). Amalan di dunia ini menjadi bekalan di akhirat. Seharusnya kita menyedari bahawa syurga itu mahal dan payah, tetapi mampu untuk dicapai. Berbekal kesedaran ini, kita mampu bergerak dan bertindak ke arah mencapai matlamat itu.
4) Pernah saya mendengar bahawa untuk ke syurga tidak cukup dengan amal kebajikan. Hakikatnya terlalu jauh amalan kita jika hendak dibandingkan dengan para Anbiya' dan sollehin yang terdahulu. Perkara utama yang membantu kita ialah rahmat iaitu kasih sayang Allah kepada kita. Jadi, ingat mati membawa kepada amal baik yang InsyaAllah dipandang Allah sebagai amal soleh.
5) Setiap kematian yang kita dengari dan lihat sebenarnya boleh membantu kita memperbaiki diri. Memanglah tidak seharusnya kita berbicara tentang hal keburukan si mati tetapi pada kejadian itu ada pengajaran yang boleh diambil. Bagaimana orang-orang soleh dimudahkan hal kematiannya, pergi dengan tenang dan mudah diuruskan jenazahnya. Ambillah ia sebagai pengajaran, kerana kematian adalah ilmu yang bermakna buat yang hidup.
Sahabat-sahabat sekalian,
Suka untuk saya mengingatkan diri agar bersedia menghadapi kematian dan berdepan dengan kematian orang sekeliling. Memang mudah untuk menasihatkan orang lain supaya bersabar menghadapi kematian, namun hakikatnya payah untuk merelakan permergian orang tersayang. Jadi marilah sama-sama kita pasakkan dalam diri bahawa kematian itu pasti. Ia menjadi misteri yang hanya Allah yang tahu, namun kita sudah diberi peringatan dan jalan untuk menghadapinya, iaitu dengan melakukan amal soleh secara berterusan. Marilah kita tanamkan keazaman untuk berubah dari hari ke hari ke arah kebaikan. InsyaAllah moga jalan kita diluruskan Allah dan kekal dalam kasih-sayang-Nya.
Wallahua'lam
wahai diri..ingati mati! Mati itu pasti!