ANTARA KEISTEMEWAAN DAN KELEBIHAN RAMADHAN
Firman Allah Taala bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(Surah al-Baqarah: ayat 183).
Pintu Syurga Dibuka Dan Pintu Neraka Ditutup.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Apabila datangnya Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan-syaitan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hanya Orang Yang Berpuasa Dapat Memasuki Pintu Syurga ar-Rayyan.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa sahaja memasukinya manakala orang-orang lain selain mereka tidak dibenarkan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang Berpuasa Bergembira Ketika Bertemu Allah Taala dan Berbuka.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Bagi orang yang berpuasa itu merasai dua kegembiraan iaitu apabila berbuka puasa dia gembira dengan berbuka puasanya dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan ibadat puasanya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Bau Mulut Orang Yang Berpuasa Lebih Wangi Dari Kasturi.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Demi Allah yang Muhammad berada di dalam genggamannya bahawasanya bau mulut orang-orang yang berpuasa itu lebih harum baunya di sisi Allah daripada bauan kasturi.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Diturunkan al-Quran al-Karim.
Firman Allah Taala bermaksud:
Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (menjelaskan di antara yang benar dan yang salah).
(Surah al-Baqarah: ayat 185).
Amalan Puasa Dinisbahkan Khusus Kepada Allah Taala.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah Taala berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Malam Lailatul Qadar.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
(Surah al-Qadr: ayat 1 hingga 5).
ANTARA PERISTIWA PADA BULAN RAMADHAN (BULAN KEMENANGAN)
Peperangan Badar al-Kubra.
Pererangan ini berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah.
Pembukaan Makkah.
Berlaku pada 21 Ramadhan tahun kelapan Hijrah.
Peperangan al-Qadisiyah.
Berlaku pada tahun 14 Hijrah.
Pembukaan Andalusia.
Berlaku pada tahun 92 Hijrah.
Peperangan Hittin.
Berlaku pada tahun 583 Hijrah.
Kekalahan Tentera Tartar.
Berlaku pada 25 Ramadhan tahun 658 Hijrah.
Kekalahan Israel.
Berlaku pada 10 Ramadhan tahun 1393 Hijrah.
KEKUATAN RAMADHAN MENGHADAPI SYAITAN
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Apabila datangnya Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan-syaitan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Syaitan merupakan musuh tradisi kepada anak Adam. Permusuhan ini bermula sejak dari penciptaan Nabi Adam A.S. sehinggalah ke hari qiamat. Janganlah sesekali anak Adam tunduk mengabdikan diri kepada tuntutan syaitan yang akan terus-menerus menyesatkan manusia.
Firman Allah Taala bermaksud:
Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai anak Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Dan hendaklah kamu menyembahKu inilah jalan yang lurus.
(Surah Yasin: ayat 60 dan 61).
Firman Allah Taala bermaksud:
Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan sedangjan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripadaNya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqarah: ayat 268).
Di antara peranan syaitan ke atas anak Adam ialah:
01. Berusaha mengkufurkan orang mukmin.
02. Bersifat gopoh.
03. Mengikut hawa nafsu.
04. Hasad dengki.
05. Takabbur.
06. Menghapuskan rasa takut dan ingatan manusia kepada Allah Taala.
Firman Allah Taala bermaksud:
Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugikan.
(Surah al-Mujaadilah: ayat 19).