Pesanan Buat kalian...
بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji bagi Allah SWT, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Kaya dan Maha Pemberi Petunjuk bagi hamba-hambaNya. Tidak ada yang dapat memberi petunjuk selain Dia. Selawat dan salam bagi Nabi Muhammad SAW serta keluarga, sahabat dan umat beliau hingga ke akhir zaman.
Firman Allah SWT: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?” (Fussilat: 33)
Pertama-tamanya setinggi-tinggi tahniah dan selamat datang saya ucapkan kepada mahasiswa baru Politeknik Ungku Omar. Tahniah, kerana anda terpilih untuk menyambung pengajian di Politeknik ini. Tiada lafaz yang selayaknya kita ucapkan melainkan kesyukuran yang sebanyak-banyaknya kepada Allah SWT di atas kurniaan ini.
Selamat kembali ke kampus dan selamat meneruskan langkah yang lebih cemerlang buat para pelajar sekalian. Muhasabah di lembaran keputusan peperiksaan yang lalu adakah kita telah melakukan yang terbaik atau masih ada usaha-usaha lompang yang perlu kita perbaiki pada saki baki semester yang ada.
Warga PSSI yang dirahmati ALlah SWT,
Persatuan Siswa Siswi Islam merupakan wadah bagi mendekatkan mahasiswa Islam PUO kepada program-program kerohanian, intelektual dan kejasmanian yang selari dengan syariat Islam. Justeru, saya menyeru seluruh warga PUO untuk sama-sama melibatkan diri dalam program-program yang disusun sepanjang semester oleh barisan kepimpinan PSSI bagi merealisasikan misi PSSI iaitu “Ke Arah Melahirkan Teknokrat Muslim Muttaqin”.
PENUHI MASA MUDA UNTUK KEBAHAGIAAN MASA TUA
Adik-adik yang dikasihi oleh ALlah SWT,
Sabda Nabi Muhammad SAW : “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum engkau jatuh papa, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datang saat kematian.”
Justeru, masa muda jangan dibiarkan berlalu sia-sia tanpa diisi dengan ibadah kepada ALlah SWT kerana masa muda itu penuh dengan kecerdasan fizikal dan mental. Manfaatkan masa muda dengan perkara yang selayaknya sebagai seorang mukmin sama ada di bidang ilmu mahupun amal. Kesungguhan melakukan ketaatan kepada ALlah SWT di usia muda ini akan menjadikan masa tua yang penuh dengan kesyukuran. Mensia-siakan usia muda yang sangat berharga bagaikan menempah untuk menanggung penyesalan di hari kemudian. Ambillah peluang dan kesempatan sepanjang keberadaan kalian di kampus PUO ini untuk mengutip sebanyak-banyaknya mutiara ilmu yang berada di sekeliling kita. Manfaat kuliah-kuliah dan pengajian yang dianjurkan di Masjid Sultan Azlan Shah, surau Taman Cempaka, Pusat Islam dan PSSI untuk menambah ilmu dan pengalaman sepanjang permukiman kalian di sini.
MEMUGAR BUDAYA ILMU DAN AKHLAK ISLAMIAH
Saya menyeru kepada seluruh warga PSSI agar sentiasa meletakkan matlamat kecemerlangan akademik dan sahsiah berada di tahap yang tertinggi. Kecemerlangan akademik merupakan syiar kepada kecemerlangan persatuan yang kita dokongi. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan ahli-ahli PSSI sentiasa mengungguli kecemerlangan dalam bidang akedemik. Pada masa yang sama, akhlak Islam hendaklah menjadi pakaian kita walau di mana kita berada kerana tidak lain dan tidak bukan, kita mencontohi kekasih kita, Nabi Muhammad SAW. Akhlaknya bukan disenangi oleh kawan, malah lawan turut mengakui kemuliaan akhlak Baginda. Teladanilah akhlak Nabi Muhammad SAW dengan menekuni sirah Baginda.
Siapkanlah sebanyak-banyak bekalan untuk menuju ke suatu pengembaraan yang jauh, iaitu perjalanan menuju akhirat. Dunia hanyalah persinggahan untuk membuat persiapan, mencari bekalan bagi menghadapi penghidupan yang kekal abadi di akhirat kelak. Dunia adalah gelanggang melakukan amal dan segala gerak kerja manakala akhirat sebagai negara menerima balasan.
Kepada seluruh barisan kepimpinan PSSI yang baru dilantik, takziah ustazah ucapkan. Pikullah amanah kepimpinan ini dengan penuh tanggungjawab dan selalulah bermunajat kepada ALlah SWT supaya diberikan pertolongan dalam setiap urusan dan diberikan rakan-rakan yang setia dalam mengendalikan organisasi PSSI.
Siiru `ala baarakatillah.
Ustazah Norhaslina binti Sulaiman
Penasihat
Persatuan Siswa Siswi Islam