Sekapur Sirih
Bismillahirahmanirrahim...
Segala puji bagi ALLAH, Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas nabi junjungan mulia. Pertama-tamanya saya mengajak kepada para pembaca untuk bersyukur dengan nikmat yang ALLAH telah berikan kepada kita sehingga ke hari ini, iaitu nikmat Iman dan nikmat Islam.
Ucapan selamat datang “ahlan wa sahlan wa marhaban bikum” kepada adik-adik yang baru sahaja mendaftar ke Politeknik Premier Ungku Omar . Sekalung tahniah dari kami Persatuan Siswa-Siswi Islam (PSSI) PUO, di atas pemilihan adik-adik untuk melanjutkan pelajaran di politeknik premier yang indah lagi permai ini dan merupakan politeknik pertama yang ditubuhkan di Malaysia.
Secebis nasihat dari saya wakil PSSI kepada adik-adik yang baru mengenali zaman IPT, semoga dapat mengharungi segala cabaran yang bakal ditempuhi. Ingatan kepada adik-adik agar tidak tersalah memilih langkah dalam perjalanan menggapai impian. Carilah teman-teman yang baik, bukan sekadar baik dengan kita, malah baik perhubungan dengan ALLAH, kerana itulah teman yang sejati. ALLAH ada berfirman yang bermaksud “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaku”(ad-zariyat : 56). Maka berfikirlah sebelum melakukan sesuatu, sama ada perkara itu menjadi kesukaan ALLAH atau sebaliknya. Jangan sesekali kita ambil mudah atas segala urusan.
Kami juga berharap agar adik-adik yang baru mendaftar dapat memenuhi harapan ibubapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya di dunia & akhirat. Semoga kehadiran adik-adik di PUO ini akan membuatkan bertambahnya semangat kami, AJK PSSI untuk menyampaikan risalah abadi untuk renungan kita bersama. InsyaALLAH jumpa dalam program terdekat PSSI.
Wassalam...
Oleh :
Presiden PSSI sesi Dis 2010.